The best and most beautiful things in the world cannot be seen or even touched. They must be felt with the heart.

Sabtu, Februari 06, 2010

Tugasan PowerPoint

Assalamualaikum,
Ini adalah tugasan terakhir subjek Technology & Inovation in Education. Saya memilih komponen Sirah Nabawiyah dan Sejarah Islam Tingkatan 4 bertajuk Imam Syafie Rahimahullah.

Kepada rakan-rakan yang kena Latihan Mengajar untuk tingkatan 4, harap slaid ini dapat membantu.
Klik pada link ini.

Sahabat-sahabat juga boleh view di sini:


Rabu, Februari 03, 2010

RPH Akikah Tingkatan 4

Assalamualaikum,
Berikut adalah RPH Akikah untuk komponen Ulum Syar'iyah Tingkatan 4 bagi tugasan Sem 1. Harap ia dapat membantu rakan-rakan dalam menyediakan RPH bagi P&P kalian.
Sila klik di sini.


Saya: Ballighu anni walau ayah

Tugasan 2 (Sem 1): Kuiz Analitikal

Bab: Perkara yang Membatalkan Iman (Tingkatan 4)
Soalan 1: Apa hukumnya berjumpa bomoh untuk mencari barang yang hilang ?

Jawapan: Harus hukumnya berikhtiar dengan bomoh sekiranya kaedah yang digunakan tidak bercanggah dengan syarak seperti ada unsur-unsur syirik, jampi serapah dan seumpamanya.

Bab: Solat Fardu (Tingkatan 1)
Soalan 2: Adakah sah solat saya apabila terdapat luka yang bernanah di lutut akibat terjatuh?

Jawapan: Solat dalam keadaan tersebut sah kerana luka bernanah tidak termasuk perkara yang membatalkan solat.

Tugasan Penceritaan Sem 1 untuk Dikongsi-Cerita 2

Ashabul Kahfi

Kota Opus meriah dengan pelbagai tingkah penduduknya yang berlumba-lumba menghiasi berhala masing-masing. Berhala-berhala di tepi jalan juga tidak ketinggalan menjadi bahan bagi penduduk kota menunjukkan kreativiti dan bersaing bagi mendapatkan gelaran hiasan berhala paling indah.

Setiap hari mereka akan menyembah berhala-hala ini. Tidak ketinggalan juga mereka menyembelih korban bagi dipersembahkan kepada berhala yang dianggap tuhan. Diqyanus, raja yang memerintah pada masa itu akan menghukum sesiapa sahaja yang ingkar pada ajaran nenek moyang mereka dan tidak menyembah berhala.

Di kota ini juga, ada sekumpulan tujuh orang pemuda yang sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan penyembahan. Mereka adalah anak-anak pembesar negara yang masih mengekalkan iman mereka. Bagi mereka, amalan kaum di kota itu sesat dan terkeluar daripada kebenaran. Kerana itulah mereka selalu mengelakkan diri daripada upacara-upacara keagamaan kaum itu. Mereka tidak berani menentang secara terang-terangan kerana khuatir dihukum oleh raja.

Pada suatu hari perayaan, mereka bertujuh berkumpul dan memerhatikan perayaan keagamaan yang diamalkan oleh penduduk kota itu iaitu sujud kepada patung dan mengagungkan berhala. Ternyata kaum mereka sudah terlalu jauh tersesat. Oleh kerana tidak tahan melihat kesesatan di kota itu dan tiada tanda-tanda penduduknya akan insaf, mereka mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari situ. Mereka berpakat membawa diri secara senyap ke sebuah gua yang bernama al-Raqim di gunung Banjalus yang terletak tidak jauh dari kota itu bagi mencari ketenangan. Mereka turut membawa seekor anjing bernama Qitmir.

Oleh kerana kepenatan, mereka tertidur di dalam gua. Apabila terjaga, mereka tertanya-tanya sesama sendiri sudah berapa lama mereka tertidur. Salah seorang pemuda itu mengatakan mereka hanya tertidur seharian. Perut masing-masing berkeroncong kerana terlalu lapar. Mereka menyuruh salah seorang daripada mereka pergi ke pasar bagi mendapatkan makanan yang halal. Pemuda itu bernama Dafsus. Mereka memberikan kepada Dafsus beberapa keping wang perak sambil berpesan kepadanya supaya menyamar kerana khuatir pemerintah akan menangkap dan memaksa mereka kembali kepada agama asal yang sesat. Dafsus pergi ke pasar berdekatan dengan menyamar dan menghendap-hendap bagi memastikan askar raja tidak berkeliaran dan melihatnya.

Beliau menghampiri satu gerai makanan dan membeli beberapa jenis makanan. Apabila hendak membayar, penjual terkejut menerima wang perak yang dihulurkannya.

“Maaf, wang ini wang lama. Kami sudah tidak menggunakannya lagi dalam urus niaga.” Beritahu peniaga itu.

“Benarkah begitu?” Tanya Dafsus terkejut.

“Benar. Kami sudah tidak menggunakan wang ini lagi. Dan pakaian kamu ini juga sudah ketinggalan zaman. Ini pakaian masyarakat 300 tahun dahulu.” Terang peniaga itu lagi. Peniaga itu juga pelik melihat pakaian Dafsus kerana ia adalah fesyen lama dan sudah tidak dipakai lagi sekarang. Kenyataan itu membuatkan Dafsus terkejut lalu beliau bertanya, “Adakah Raja Diqyanus masih memerintah?”

“Raja Diqyanus sudah mangkat 309 tahun yang lalu. Raja juga sudah beberapa kali bertukar ganti. Pemerintah sekarang sangat baik dan beriman kepada Tuhan yang satu. Kami sudah meninggalkan penyembahan berhala,” jelas penjual itu lagi.

Kini sedarlah Dafsus yang mereka sebenarnya bukan tertidur selama sehari, tetapi rupa-rupanya dengan kuasa Allah, mereka ditidurkan selama 309 tahun. Penjual itu merasa pelik dan membawa Dafsus menghadap pemerintah kerana khuatir beliau adalah pengintip dari pihak musuh.

Dafsus menceritakan perkara sebenar kepada pemerintah, namun pemerintah mahukan bukti. Lalu Dafsus membawa pemerintah dan penduduk kota itu ke gua bagi bertemu dengan rakan-rakannya yang lain. Akhirnya pemerintah dan penduduk percaya pada kekuasaan Allah yang mampu menghidupkan dan mematikan makhluk ciptaannya. Keajaiban peristiwa ini menambahkan lagi keimanan dan kepercayaan mereka pada keagungan kuasa Allah.

Kemudian pemuda-pemuda Ashabul Kahfi (sahabat gua) bersama anjing yang mulia tadi dimatikan oleh Allah dan kisah mereka menjadi teladan kepada umat Islam sehingga sekarang. Peristiwa ini adalah contoh betapa menyelamatkan iman itu lebih penting walaupun terpaksa meninggalkan harta dan kemewahan. Ia juga membuktikan keagungan kuasa Allah yang dapat menghidupkan dan mematikan makhluk ciptaannya.

Kaitan dengan Isi
Cerita di atas boleh dikaitkan dengan beberapa bab dalam sukatan PI iaitu:
  • Bab 3: Bukti Kekuasaan Allah (Tingkatan 3)
  • Bab 5: Berpegang Teguh pada Agama Allah (Tingkatan 2)
  • Bab 29: Konsep Tetap Pendirian (Tingkatan 3)

Penggunaan dalam Pengajaran
  • Boleh dijadikan set induksi supaya pelajar dapat mengaitkan cerita dengan tajuk yang akan diajar. Selepas memperkenalkan tajuk, guru boleh meminta pelajar membuat sumbang saran daripada penceritaan berkenaan bukti-bukti kekuasaan Allah, kelebihan berpegang teguh pada agama Allah ataupun cara menegakkan pendirian.
  • Boleh juga diceritakan selepas menerangkan isi pengajaran (mengikut bab yang dipilih) supaya pelajar lebih jelas dengan topik yang dibincangkan. Akhir cerita, minta pelajar buat kesimpulan berkenaan kaitan cerita dengan isi pelajaran yang sudah diajar

Tugasan Penceritaan Sem 1 - Cerita 1

Saudagar Permata yang Jujur

Yunus bin Ubaid adalah saudagar permata yang terkenal. Beliau memiliki kedai permata dan seorang pekerja bagi membantu beliau. Pada suatu hari, beliau meminta pekerjanya menjaga kedai dan menggantikannya sebentar kerana beliau hendak keluar bersolat di Masjid.

Semasa beliau tiada, seorang pembeli dari kawasan pedalaman datang hendak membeli perhiasan permata di kedainya. Pembeli ini memberitahu yang beliau ingin membeli satu perhiasan permata dengan harga 400 dirham. Lalu pekerja Yunus menunjukkan kepada pembeli itu satu barang yang cantik. Barang itu sebenarnya hanya berharga 200 dirham, namun pekerja itu tidak memberitahu harga sebenar kepada pembeli itu. Pembeli yang kurang arif berkenaan harga sebenar barang yang ingin dibelinya terus sahaja bersetuju dan membeli perhiasan itu dengan harga 400.

Semasa dalam perjalanan pulang, pembeli tadi berselisih dengan Yunus. Yunus terperasan barang yang dibawa oleh pembeli itu adalah daripada kedainya. Lalu beliau menghampiri pembeli itu dan ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi membeli barang jualannya. Selepas bersalaman, Yunus bertanya kepada pembeli itu, “Sungguh pandai tuan memilih. Barang ini sesuai dengan tuan. Berapakah harga barang ini?”

"Empat ratus dirham," jawab pembeli itu. Yunus terkejut dan terus berkata, "Tuan, harga sebenar perhiasan ini hanya 200 dirham sahaja. Ia tidak sepatutnya dijual dengan 400 dirham. Tuan, marilah kita kembali ke kedai saya. Saya ingin kembalikan baki 200 dirham tuan."

Namun permintaan Yunus ditolak oleh pembeli itu, "Tidak perlulah tuan, saya setuju dengan harga itu dan sudah rasa beruntung. Di kawasan kampung saya, perhiasan seperti ini paling murah pun dijual dengan harga 500 dirham.” Namun Yunus masih lagi rasa bersalah menjual barang itu bukan dengan harga yang sepatutnya. Beliau terus mendesak pembeli itu supaya kembali ke kedai dan tidak membenarkannya pulang. Akhirnya pembeli itu akur selepas didesak beberapa kali. Yunus berasa lega dan tenang selepas memulangkan kembali baki wang kepada pembeli itu.

Selepas pembeli tadi pulang, Yunus memarahi pekerjanya, "Adakah kamu tidak takut dan malu kepada Allah kerana menjual barang dengan mengambil untung dua kali ganda?”

“Maafkan saya tuan, pembeli itu sendiri hendak membeli barang itu dengan harga 400 dirham,” jelas pekerjanya bagi mempertahankan diri.

“Tetapi kamu perlu memberitahu harga sebenar barang itu. Sebagai peniaga, kamu sepatutnya sedar dan tahu di bahu setiap peniaga itu terpikul satu amanah. Kita diamanahkan supaya melayan dan memberikan hak kepada saudara kita seolah-olah kita mahu diri kita dilayan dan diberikan hak yang sewajarnya. Seperti kita mengasihi saudara kita seperti kita mengasihi diri kita sendiri.”

Ingat pesan kekasih Allah, Nabi Muhammad, “Allah adalah yang menetapkan harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki. Saya berharap dapat bertemu Allah dalam keadaan tidak ada daripada kalian menuntut sesuatu daripada saya kerana saya menzalimi kalian.


Kaitan dengan Isi
Tingkatan 2, Bab 29: Kejujuran
  • Maksud jujur 
  • Ciri-ciri orang yang jujur 
  • Kelebihan bersikap jujur dan kesan bersikap jujur   
  • Perbezaan orang yang jujur dengan orang yang tidak jujur

    Penggunaan dalam Pengajaran
    • Diceritakan pada permulaan masa pengajaran dan kemudian minta pelajar buat sumbang saran kesimpulan yang mereka peroleh daripada penceritaan guru.
    • Kemudian, perincikan isi pengajaran berdasarkan cerita tadi supaya pelajar memahami konsep jujur secara keseluruhan.

    Isnin, Februari 01, 2010

    Menguap Menurut Islam

    Hasil Nukilan Amin Fadzlan yang dipetik daripada blog Idham Lim.

    Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Baginda Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'.

    Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya. (Hadith Riwayat Bukhari)

    Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka." Riwayat Imam Muslim.

    Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu." Hadith riwayat Imam Muslim,
    Ahmad dan At-Tirmidzi

    Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya: Telah bersabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin." Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi

    Pengajaran daripada maksud hadith, antara adap-adap menguap dan bersin:
    1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika solat.
    2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat.
    3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin.
    4. Sunat ketika bersin mengucapkan "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya pula mengucapkan "Yarhamukallah".
    5. Sunat mengucapkan "Astaghfirullah" selepas menguap.
     
    Saya: Bahan untuk mengajar adab dan akhlak.

    Sabtu, Januari 30, 2010

    Tugasan Kedua: Window Movie Maker (Pergaulan Bebas)

    Berikut adalah tugasan kedua bagi subjek Technolgy & Inovation in Education. Kumpulan saya terdiri daripada saya, Rozita Abdul Razak (G0914814), Norul Akma Derahman ( G 0918766) dan Sriyanti Abdullah ( G 0916636).
    Kami memilih tajuk bab30: Adab Menjaga Fitrah Lelaki dan Perempuan dalam komponen Adab dan Akhlak Islamiah Tingkatan 1. Dalam video ini, kami cuba mengetengahkan berkenaan keadaan remaja hari ini yang terdedah kepada pergaulan bebas dan kesannya sekiranya ia tidak dibendung. Pada akhir video ditekankan tanggungjawab pelajar menuntut ilmu dan memenuhi harapan ibu dan ayah bagi berjaya dalam pelajaran. Juga diselitkan nasihat supaya pelajar tekun berusaha dan bertawakal kepada Allah.

    Kekosongan Jawatan di ITNM

    Semasa melayari laman web Kementerian Pelajaran tadi, terjumpa satu link yang menarik. Jika saya tidak masuk DPLI, ingin sahaja memohon. Darah editor masih hangat dalam diri. Pengalaman di PTS rasanya cukup untuk dijadikan resume bagi memohon jawatan yang tersenarai. Sahabatku merangkap juniorku sudah beberapa kali ajak join beliau di ITNM sebagai editor. Tapi masa depanku sudah ditetapkan menjadi guru. Guru Pendidikan Islam lagi. Berkat doa suami. Walaupun gaji di ITNM itu memberangsang, tetapi apakan daya. Mungkin keberkatan sebagai guru lebih bermakna.

    Kepada rakan-rakan yang masihtercari-cari lubang kerja yang lebih kukuh, boleh klik link berikut.

    Semoga berjaya.

    Saya: Kerja suntingan masih diteruskan dengan semangat dan motivasi daripada Puan Sifu merangkap mentorku, Puan Ainon Mohd dan Prof Abdullah Hassan. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan oleh dua tokoh suami isteri ini yang bagiku adalah pejuang yang sebenar.

    Khamis, Januari 28, 2010

    Tugasan Fotografi - Air Mutlak

    Bagi tugasan fotografi, tema yang dipilih adalah Bersuci Asas Kebersihan, bab 20, tingkatan 1. Untuk lebih fokus, saya kecilkan skop kepada salah satu bahan bersuci iaitu air mutlak.


    Air Mutlak
    Air mutlak adalah air yang suci dan boleh digunakan bagi bersuci sama ada beristinjak, berwuduk, mandi hadas dan sebagainya.

    Di sini dipilih dua jenis air mutlak yang mudah kita temui di sekeliling kita iaitu air sungai dan air paip.
     

    Gambar 1: Air Sungai


    Gambar 2: Air Paip 
    Dua gambar seterusnya adalah air yang bersih tetapi tidak boleh digunakan bagi menyucikan iaitu:




     Gambar 3: Air Musyammas 
    Air musyammas adalah yang terjemur di tengah panas matahari. Gambar di atas menunjukkan air itu bersih tetapi terjemur di bawah terik matahari. Air ini makruh hukumnya jika digunakan bagi bersuci.



    Gambar 4: Air yang tidak cukup sukatan dua qullah.
    Air yang boleh digunakan bagi berwuduk hendaklah lebih daripada 2 qullah. Dua qullah bersamaan 230 liter. Gambar di atas menunjukkan air itu bersih tetapi ia tidak boleh digunakan bagi bersuci kerana sukatannya tidak cukup 230 liter.
    Saya: Semoga dapat menjadi bahan untuk rakan-rakan lain mengajar bahagian ini.

    Isnin, Januari 25, 2010

    Masalah Upload

    Talian internet ini betul-betul menduga kesabaran. Dalam kekalutan untuk upload tugasan Dr. Tunku Badariah, masa inilah talian broadband ini buat hal. Perlahannya sehingga membuatkan aku stres. Rasanya siput berjalan lagi laju dari broadband ini.

    Dr Tunku...mohon maaf ya... Tugasan tidak dapat diupload. Saya sedang cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah ini untuk memasukkan semua tugasan. Ampun ya Dr.